Hari ini tergerak hati untuk kongsi sedikit pengalaman tentang soal keagamaan.
ISLAM.
Mulanya bertudung dan lengkap menutup aurat. Cukup sopan malah sejuk mata memandang.
Kemudian bertemu si dunia penuh kemajuan. Mungkin pada penglihatannya, dunia itu tidak cantik dan tidak sempurna jika tidak turut serta mengikut aliran semasa. Maka dikurangkan mana yang selama ini dijaga. Tudung disingkatkan malah kadangkala hilang entah ke mana. Lalu baju disendatkan, kurung semakin jarang menjadi pilihan bahkan seluar 'membalut' lebih sering mencuri tumpuan.
Kecewa melihat dari jauh, namun berdoa semoga tidak tersasar ke jalan yang dimurkai-Nya.
Hari ini, tudung tidak lagi wujud dalam senarai keperluan. Bukan itu cuma, malah tidak lagi ada dalam almari dan laci pakaian. Diganti pula dengan skirt pendek separa lutut, singlet berwarna-warni, serta baju-baju yang mungkin 'up-to-date' pada pandangannya. Mungkin kerana material. Menyedihkan kerana dia sekarang jelas telah tewas pada pertaruhan urusan duniawi.
Sedih kerana itu bukan dia yang saya kenal dulu. Dia semakin sesat dan bahagia dengan caranya yang jelas lagi terang sedang mengumpul dosa. Nauzubillah. Menasihat sekadar yang mampu, semoga dia tidak lagi begitu sebelum namanya diseru untuk menemui Dia yang satu.
Dalam kekecewaan itu, terima kasih Tuhan kerana mengurnia rasa gembira kepada saya kerana masih sempat melihat kawan-kawan yang semakin ramai berubah. Berubah kepada kebaikan. Semoga dia juga akan berubah kepada perkara yang sama satu masa nanti. Insya-Allah :) Sesungguhnya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain mendiami syurga-Nya nan abadi. Jadi, tidak mungkin perlu ada rasa putus asa, malu atau lemah dalam memenuhi keperluan dan kewajipan selaku muslim/muslimah sejati.